Friday, 4 December 2015

BAB 6: MAWAR SHAFEI: DIA DARI PENJURU TAHUN LALU

SINOPSIS

Cerpen “Dia dari Penjuru Tahun Lalu” karya Mawar Safei mengisahkan tentang kehidupan seorang warga tua di Rumah Kencana. Rumah Kencana menempatkan 20 orang warga tua yang terdiri daripada golongan elit. Plot cerita dimulai dengan Yasmin atau Saya yang berkunjung ke Rumah Kencana untuk melawat Nenek Mariah. Rumah Kencana dibina oleh Almarhum ibu kepada Neldia (AIN) iaitu sahabat kepada Yasmin. AIN mahukan sebuah perumahan eksklusif untuk warga emas yang terdiri daripada golongan profesional. AIN menginginkan agar Rumah Kencana menjadi simbol kasih sayang anak-anak kepada ibu bapa mereka. AIN mahu anak-anak menghormati permintaan dan privasi ibu bapa mereka yang sudah tua. AIN tidak mahu ibu bapa yang sudah tua ‘dikurung’ di rumah anak-anak dengan situasi yang tidak sepatutnya. Seperti mana situasi yang sering berlaku dewasa ini, ibu bapa yang sudah uzur mengambil alih tugas pengasuh dengan menjaga cucu. Begitu juga dengan situasi di mana ibu bapa cuba dikawal oleh pembantu rumah. Seharusnya ibu bapa yang sedang melewati penghujung usia ini diberi ruang dan peluang untuk meningkatkan amalan kepada Allah sebagai bekalan di akhirat. Menurut AIN ibu bapa ini seharusnya diberi privasi untuk menikmati kehidupan mereka di hujung usia. Plot cerpen ini dimulai dengan Yasmin atau watak Saya yang berkunjung ke Rumah Kencana untuk melawat Nenek Mariah. Nenek Mariah merupakan mantan Pengarah Kebudayaan di sebuah institut pengajian tinggi. Nenek Mariah juga merupakan isteri kepada seorang mantan menteri. Nenek Mariah sentiasa mahukan yang terbaik dalam hidupnya meskipun usianya kini sudah dipenghujunh waktu. Misalnya, Nenek Mariah menggunakan pinggan dan cawan yang berjenama dan hanya makan makanan yang sihat. Nenek Mariah berasa bebas menetap di Rumah Kencana di samping dapat beribadat dan meneruskan kajiannya di Rumah Kencana. Nenek Mariah sering menyatakan kerinduannya terhadap Dr. Zelda iaitu bekas penghuni Rumah Kencana yang telah meninggal dunia kepada Yasmin. Nenek Mariah yang mula diserang penyakit Alzheimer merasakan seolah-olah Dr. Zelda masih hidup. Nenek Mariah mahu melakukan rutin hariannya berasa Dr. Zelda. Akibat terlalu merindui Dr. Zelda, Nenek Mariah bermimpi dirinya mendirikan solat berjemaah bersama Dr. Zelda di atas permukaan bulan. Dr. Zelda dirindui oleh Nenek Mariah merupakan seorang pakar sakit puan. Dr. Zelda juga merupakan teman rapat kepada Nenek Mariah sepanjang almarhum mendiami Rumah Kencana. Almarhum pernah mengambil seorang anak angkat yang ditinggalkan oleh ibu kandungnya. Namun anak itu diambil semula oleh ibu kandungnya. Dr. Zelda boleh dikatakan meninggal dunia dalam keadaan merindui anak angkatnya. Yasmin akhirnya menemui semula anak angkat almarhum Dr. Zelda. Yasmin mahu memberitahu berita gembira tersebut kepada Nenek Mariah agar dapat meleraikan kerinduannya kepada Dr. Zelda. Namun Nenek Mariah terlebih dahulu menyambut Yasmin dengan puisi rindunya terhadap Dr. Zelda kepada Yasmin.

PROSES KREATIF:

            Cerpen ini banyak memfokuskan kepada persoalan kasih sayang dan persahabatan. Persoalan tentang persahabatan dalam cerpen ini terlihat melalui persahabatan di antara Nenek Mariah dengan Dr. Zelda. Nenek Mariah dan Dr. Zelda sering bertukar-tukar cerita, menjalankan rutin harian dan melakukan ibadah bersama-sama. Hal ini menyebabkan Nenek Mariah sukar untuk melupakan kenangannya dengan Dr. Zelda. Persahabatan yang terjalin menyebabkan Nenek Mariah terperangkap dalam kerinduan terhadap Dr. Zelda. Hal ini menyebabkan Nenek Mariah merasakan yang Dr. Zelda masih hidup dan mahu menjalankan rutin hariannya bersama-sama Dr. Zelda! Persoalan tentang persahabatan juga jelas tergambar melalui watak Yasmin dengan Neldia. Persahabatan yang terjalin menyebabkan Yasmin sering mengunjungi Rumah Kencana untuk melepaskan tekanannya. Dalam masa yang sama, Neldia juga turut meminta bantuan Yasmin untuk memujuk Nenek Mariah yang tidak berselera makan.
            Seterusnya, cerpen ini turut mengutarakan persoalan tentang kasih sayang. Persoalan kasih sayang yang cuba disampaikan dalam cerpen ini adalah kasih sayang anak-anak kepada ibu bapa. Rumah Kencana menjadi simbol kasih sayang anak-anak yang menghormati privasi orang tua mereka. Rumah Kencana yang masih beroperasi setelah kematian AIN juga merupakan lambang kasih sayang Neldia terhadap almarhum ibunya. Perkara ini menunjukkan Neldia menghormati impian almarhum ibunya. Selain itu, cerpen ini juga memaparkan kasih sayang seorang ibu kepada anak-anaknya. Misalnya, seperti AIN yang membesarkan dan adik-beradiknya bersendirian. Begitu juga dengan Dr. Zelda yang mengambil seorang anak angkat yang ditinggalkan oleh ibunya. Namun anak angkat tersebut diambil oleh ibu kandungnya. Hal ini menyebabkan almarhum Dr. Zelda merindui anak angkatnya dan menceritakan kerinduannya itu kepada Nenek Mariah.
            Menyentuh dari sudut kepengarangannya pula, penulis telah mendapat ilham untuk mengarang cerpen melalui kisah ibu kepada sahabat pengarang. Ibu kepada sahabat pengarang lebih selesa tinggal di rumah sendiri dan melakukan rutin harian meskipun sudah uzur. Manakala sahabat kepada pengarang pula mahu menjadikan kediamannya sendiri sebagai rumah orang tua untuk golongan profesional. Dalam membuat penelitian tentang isu ini, penulis turut meminta pandangan daripada pelajar-pelajarnya. Terdapat pelajar yang tidak bersetuju dan berasa sensitif dengan isu tersebut. Namun penulis tetap menerangkan alasan rasional mengapa ibu bapa wajar ditempatkan di rumah orang tua yang bersesuaian. Alasan rasional yang dijelaskan oleh penulis kepada pelajar-pelajarnya telah mendorong penulis untuk menghabiskan cerpen ini.

            Dari segi pemilihan dan penamaan watak pula, perwatakan Nenek Mariah adalah inspirasi daripada personaliti sahabat pengarang iaitu Prof. Solehah Ishak. Sifat-sifat peribadi yang dimiliki oleh Nenek Mariah juga bagaikan gambaran keperibadian Prof. Solehah Ishak. Seperti dalam cerpen-cerpen penulis yang lain, nama ‘Zelda’ sekali lagi diangkat dalam cerpen ini. Penulis juga turut merakamkan pengalaman beliau bermimpin solat berjemaah di atas bulan. Secara realitinya, penulis sendiri teruja dengan idea Rumah Lanjut Usia (LANSIA). Keterujaan tersebut mendorong penulis untuk menulis cerpen ini dan melakarkan impiannya melalui cerpen. Menurut penulis, cerpen adalah ruang untuk membina impian. 

No comments:

Post a Comment