Thursday, 12 November 2015

BAB 2: FAISAL TEHRANI: "PERLAK EMAK"

*Gambar sekadar hiasan

SINOPSIS

Cerpen "Perlak Emak" mengisahkan tentang seorang ibu yang berusaha memelihara dan mempertahankan perlak yang sedia ada. Perlak merujuk kepada taman. Ibu itu sering menyatakan bahawa sesebuah rumah itu perlu ada padang yang rata untuk medan anak-anak bermain manakala di sekeliling rumah pula mesti ada halaman, taman, kebun, dusun dan perlak. Hal ini menunjukkan bahawa perasaan cintanya terhadap perlak amat tinggi kerana dia begitu kagum akan alam semula jadi ciptaan Tuhan. Si ayah juga turut merasa kesannya. Sebuah wakaf didirikan untuk dijadikan tempat rehat dan singgahan pengembara, perantau atau orang datang. Pembinaan wakaf itu diteruskan oleh si menantu selepas ketiadaan si ayah. Ibu itu sanggup bertikam lidah dengan pihak atasan untuk mempertahankan perlaknya, iaitu perlak Rimba Dalam daripada dirampas untuk dibina sebuah padang golf. Perlaknya mempunyai pelbagai hasil tani, hasil bumi dan bermacam-macam herba yang boleh dijadikan sebagai ubat, dan juga untuk kegunaan lain pada masa hadapan. Disebabkan itu, ibu itu sangat mempertahankan perlaknya dan menasihati anak perempuannya yang bernama Haziyah supaya menjaga perlaknya kerana perlak itu merupakan khazanah dan warisan bersama supaya dapat dikongsi bersama generasi akan datang. 

PROSES KREATIF

Pengalaman beliau dalam menjejaki taman Uthmaniyah di luar Dolmabahce, di Istanbul dan taman Postdam era Prusia di Berlin memberikan inspirasi kepada Faisal Tehrani untuk melakar perasaannya dalam bentuk sebuah cerpen. Rasa kagumnya terhadap seni dan susun atur taman indah itu membuatkan beliau berasa terpanggil untuk membentuk gambaran tersebut kepada sebuah cerpen. Beliau berasa sedikit terkilan kerana seni taman Melayu kurang menonjol kerana kerakusan pembangunan yang menenggelamkan hasil seni itu. Gambaran ini dapat diperihalkan melalui pengalamannya sendiri dalam menyaksikan keindahan kampung halamannya dimamah dengan pembinaan jalan besar.  Beliau berpegang dengan prinsip bahawa perlak iaitu taman Melayu itu haruslah kekal dengan seninya dan unsur-unsur tradisional tanpa 'diusik' oleh arus kemodenan. Semua itu diluahkannya dalam cerpen "Perlak Emak" ini.

No comments:

Post a Comment