Wednesday, 11 November 2015

BAB 1: AMINAH MOKHTAR: "YA ALLAH DIA MENANGIS"


*Gambar sekadar hiasan

SINOPSIS.

Cerpen "Ya Allah Dia Menangis" mengisahkan tentang seorang wanita yang setia menemani suaminya yang tenat tanpa rasa jemu. Peristiwa hitam yang dilakar oleh suaminya membuatkan keluarga mentua benci kepadanya, tambahan dia bukanlah menantu pilihan memandangkan dia sebenarnya hanya seorang pembantu rumah. Wanita itu redha walaupun dirinya dihina dan disisih oleh keluarga suaminya. Haknya sebagai isteri juga dibatalkan oleh seluruh ahli keluarga arwah suaminya dalam hal tuntutan mayat. Apa yang dia tahu, dia hanya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri; menjaga dan membersihkan tubuh suaminya semasa arwah sakit dan mendoakan untuk arwah. Sepanjang masa itu, dia tidak pernah menitiskan air mata; tanda dia seorang yang sangat cekal dan tabah. Walaupun dia dizalimi, tetapi dia tidak berdendam, malah membuat kebaikan dalam usaha untuk membantu suaminya supaya tenang di alam barzakh sana, kerana dia tahu suaminya tidak mempunyai sebarang bekalan amalan semasa hidup di dunia. 

PROSES KREATIF. 

Memiliki kerjaya sebagai seorang jururawat membuatkan Aminah Mokhtar menyuntik pengalamannya menjadi sebuah cerita. Beliau tidak mempunyai dan tidak mengamalkan sebarang teknik penulisan yang khusus dalam berkarya. Dalam cerpen "Ya Allah Dia Menangis" ini, Aminah Mokhtar mengambil latar wad ICU dimana beliau menyaksikan sendiri peristiwa perebutan jenazah antara si isteri dan keluarga arwah suaminya. Beliau menyatakan perasaan terseksa ketika memerhatikan ketaatan seorang isteri menjaga suami yang tenat hingga ke akhir hayat, tetapi haknya dibatalkan oleh seluruh ahli keluarga arwah semasa menuntut jenazah. Suasana masyarakat yang berlaku di dalam hospital tempat beliau bekerja memberikan ilham kepadanya untuk menulis tentang tema kemanusiaan dan kehidupan di hospital yang mahu dikongsi bersama-sama khalayak.

Sebelum menggerakkan tintanya, beliau memastikan dirinya tahu akan apa itu cerpen sebenarnya. Kebanyakan cerpen yang dihasilkannya adalah berkisarkan semua watak yang pelbagai di dunia hospital. Aminah Mokhtar memilih teknik penceritaan secara langsung, imbas kembali dan berbingkai dalam menguatkan lagi penghayatan untuk memberi kesedaran jiwa untuk tidak mahu berhenti menulis. Beliau sering menggunakan sudut pandangan orang pertama iaitu 'aku'. Beliau juga berusaha menyelami dengan menjadi sebahagian atau keseluruhan watak tersebut untuk menghidupkan watak. Beliau juga membuat kajian terlebih dahulu mengenai peranan dan fungsi setiap dialog dalam memastikan kesinambungan yang ada mempunyai makna. Beliau berpegang dengan prinsipnya bahawa walau apa jua jenis pekerjaan atau perbuatan yang dilakukan, ianya mestilah bertunjangkan Yang Maha Esa supaya apa yang dilakukan dapat membantu diri di akhirat nanti, bukan hanya sekadar untuk keuntungan dunia sahaja. 

No comments:

Post a Comment