Wednesday, 11 November 2015

BIODATA PENYUSUN: MAWAR SAFEI DAN NISAH HJ. HARON


Prof. Madya. Dr. Mawar binti Safei dilahirkan pada 27 Februari 1971 di Singapura. Beliau mendapat pendidikan awal di Singapura dan Johor Bahru. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) pada tahun 1995 dan Sarjana Sastera pada tahun 1997 dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau juga turut memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang kesusasteraan bandingan dari Nanyang Technological University, Singapura  pada tahun 2006. Beberapa tulisan akademik beliau pernah diterbitkan dalam jurnal dan majalah serantau. Beliau merupakan pengulas cerpen Dewan Siswa sejak 2007 hingga kini. Buku hasil karya terbarunya ialah "Inilah Karangan Saya: Narasi Penciptaan Cerpen" (UKM, 2014) dan "Kreativiti 3 Genre: Kepengarangan 12 Penulis" (ITBM, 2015). Beberapa kumpulan cerpen beliau ialah "Zel" (1998), "Montaj II" (2002), "Masitah" (2007, 2009) dan "Narasi Gua dan Raqim" (ITBM, 2014).  Antara pengiktirafan yang diterima ialah menerusi Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank @ Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxon Mobil, Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan Hadiah Sastera Darul Takzim. Beliau kini merupakan Profesor Madya dan Ketua Editor Jurnal Melayu (2013-2015) di Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM; pengkhususan beliau adalah sastera dan kreativiti.


Puan Nisah Hj. Haron dilahirkan di Seremban, Negeri Sembilan pada 20 April 1973. Beliau memulakan kerjaya menulis sebagai hobi sejak tahun 1988. Beliau telah menulis sebanyak 40 buah cerpen, 5 buah novel, sejumlah esei dan sajak yang diterbitkan di dalam ruangan sastera di akhbar dan majalah tempatan dan antarabangsa sehingga kini. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Dato’ Klana Ma’amor, Seremban pada tahun 1980 hingga 1985 dan kemudiannya di SMKA Sheikh Haji Mohd Said, Seremban pada 1986 hingga 1990. Beliau mendapat pendidikan undang-undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1997. Beliau turut mendapat Sarjana Undang-undang pada tahun 2006 dan Sarjana Sastera pada tahun 2013 dari institusi yang sama. Beliau bertugas sebagai peguam bela dan peguam cara juga peguam syarie selama lapan tahun sebelum beralih menjadi penulis sepenuh masa pada tahun 2006. Beliau merupakan aktivis hak cipta dalam kalangan penulis dan penerbit. Nisah Haron telah menghasilkan buku hak cipta untuk pembaca umum berjudul "Karya Kita Hak Kita- Panduan Hak Cipta" (Al-Ameen Serve Holdings, 2008) dan sebuah travelog "Kembara Sastera Nisah Haron: United Kingdom & Dublin" (Malaysian Institute of Translations and Books, 2012).

Karya-karya Nisah Haron telah mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan termasuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan dan banyak lagi. Terbaharu, beliau memenangi tempat pertamadalam Hadiah Sastera Berunsur Islam melalui cerpennya "Aset Istiqamah" . Beberapa buah karya beliau turut diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan Jepun. 



Gambar diatas menunjukkan Dr. Mawar Safei bersama Puan Nisah Hj. Haron ketika mereka bersama-sama hadir ke majlis penyampaian hadiah sastera pada tahun 2011. Dr. Mawar memperoleh Hadiah Utama Kajian Sastera untuk makalahnya "Tradisi dalam Novel Siti Rahayu". Puan Nisah Hj. Haron pula mendapat Hadiah Utama Rencana Sastera untuk karyanya yang bertajuk "Penulis (Muda) Tunggu Pengiktirafan". Kedua-dua karya mereka ini tersiar di dalam Jurnal Pemikir (Jan-Mac 2011).

Sumber: http://mawarshafei.blogspot.my/p/mawar.html
               http://annyss.blogspot.my/p/biodata-penuh.html
               http://annyss.blogspot.my/2012/10/hsku-2011-kembar-sastera-dan-hadiah.html

No comments:

Post a Comment